TOP NEWS

Thank you for visiting my blog. Any activities 'copy and paste' material are permitted provided must state taken from this blog. This site contains personal stuff, trend and lifestyle, make over, shopping alert, printing, beauty by seewed, design website and telco product.

--->...We serve U Better...Our Service is..<---

Sunday, 13 January 2013

Badan Penyelidikan Dan Pembangunan Rumpai Laut Disaran Ditubuhkan

24 Julai, 2009 12:19 PM

Sumber: Bernama



SEMPORNA, 24 Julai (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan supaya Sabah mewujudkan satu institut kajian dan pembangunan (R&D) khusus untuk penyelidikan rumpai laut.

Katanya institut seperti itu dapat membantu mengembangkan potensi industri rumpai laut sama ada dari aspek pengeluaran atau pemerosesan produk hiliran tersebut.

"Jadi mesti ada R&D iaitu badan penyelidikan yang akan memberi perhatian tentang bagaimana kualiti rumpai laut dapat dipertingkatkan dan bagaimana untuk membanyakkan lagi hasil pengeluarannya.

"Kalau ada badan penyelidikan kita akan tahu bagaimana kita boleh membuat sendiri produk berasaskan rumpai laut. Sekarang ini kita hanya menjual dan orang lain yang memproses.

"Kita perlu miliki semua kemahiran itu supaya pendapatan rakyat yang berkecimpung dalam industri rumpai laut ini dapat dipertingkatkan lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengkulturan Rumpai Laut di Look Butun, Pulau Bum-Bum dekat sini pada hari Jumaat.

Turut mengiringi Abdullah dan isterinya Tun Jeanne Abdullah dalam lawatan ke projek itu di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran.

Abdullah berkata potensi masa depan rumpai laut di Sabah amat cerah memandangkan permintaannya yang berterusan dan atas dorongan kegunaan bahan itu yang luas termasuk dalam bidang pemakanan, ubat-ubatan dan farmaseutikal.
Katanya kesesuaian pengkulturan rumpai laut di Sabah terutama di perairan Semporna, Kunak dan Lahad Datu merupakan rahmat Allah yang perlu disyukuri dan diberi perhatian sebaik-baiknya oleh rakyat.

"Pengkulturan rumpai laut ini kita tidak perlu bagi baja dan tak perlu beri makanan. Kita gantung saja dan lepas itu (tunas) rumpai laut akan bercambah menjadi banyak dan mengeluarkan hasil dengan cepat," kata beliau.

Mengulas mengenai kemampuan projek pengkulturan rumpai laut di Look Butun mengeluarkan kesemua kira-kira 80 pesertanya daripada garis kemiskinan tegar, Abdullah berkata projek itu berkesan dalam mengatasi masalah kemiskinan tegar.
Projek pengkulturan rumpai laut secara berkelompok di Look Butun bermula pada tahun 2001 dan kini pendapatan bulanan peserta berdasarkan harga semasa rumpai laut ialah antara RM1,000 dan RM1,300 sebulan.--BERNAMA

0 comments:

Please leave a message, email or phone number to be contacted.