Kesegaran Puding Mangga
ARKIB : 03/08/2012Sumber:
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120803/ke_02/Kesegaran-puding-mangga#ixzz2HMBQSfaI
© Utusan Melayu (M) Bhd
AGAR-AGAR adalah satu produk yang diperbuat daripada rumpai laut yang dikeringkan. Ia digunakan untuk membuat pencuci mulut seperti puding dan agar-agar.
Ia sangat kaya dengan sumber kandungan protein. Ada dua jenis agar-agar yang biasa di jual di Malaysia iaitu jenis kepingan (bertali) dan serbuk.
Agar-agar berasa tawar, tetapi ada juga agar-agar serbuk yang yang berperisa seperti mangga, oren dan sebagainya.
Agar-agar jika dimasak akan mengeras selepas satu jam pada suhu bilik. Cabaran membuat puding dan agar-agar yang pastinya adalah sama ada ia akan menjadi keras atau terlalu lembik?
Masalah ini berlaku jika konsistensi larutannya tidak dimasak dengan tepat.
Pada minggu ini saya akan berkongsi dengan anda bagaimana dapat menggunakan agar-agar dengan betul dan membuat resipi saya minggu ini iaitu puding mangga.
Anda pasti akan berasa puas menikmati lebih-lebih lagi di bulan puasa ini kerana ia boleh dijadikan juadah berbuka puasa.
Resipi puding mangga yang saya kongsikan pada minggu ini tidaklah seperti puding lain yang dibuat menggunakan campuran tepung jagung atau kastard.
Tetapi rasa dan teksturnya adalah daripada campuran mangga bersama agar-agar dan bahan lain yang membuatnya keras.
Jadi anda tidaklah perlu membelinya di luar kerana anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Ia juga lebih enak dan tahan lebih lama jika disimpan dalam peti sejuk.
Membuat puding yang paling utama adalah pastikan agar-agar yang direbus itu adalah larut dengan sepenuhnya.
Pastikan tiada butiran agar-agar selepas anda merebus. Jika menggunakan agar-agar keping sebaiknya tapis supaya puding dan agar-agar licin. Kebolehan agar-agar untuk mengeras atau menjadi set bergantung kepada jumlah keasidan bahan-bahan dalam resipinya.
Maksud di sini jika dalam resipi puding atau agar-agar anda ada menggunakan buah-buahan yang masam jadi anda perlu menambah jumlah agar-agar supaya puding anda dapat mengeras dengan baik.
Ini adalah tip, apabila anda menggunakan dan merebus agar-agar serbuk dan keping, dua sudu kecil agar-agar serbuk adalah bersamaan dua cawan air.
Jika menggunakan agar-agar keping pula nisbah air adalah 25 gram bersamaan dua hingga tiga liter cecair. Rendamkan dalam air kosong selama 10 minit dan mulakan merebus sehingga ia larut.
Merebus agar-agar keping memerlukan masa yang lebih lama berbanding anda merebus agar-agar serbuk, jadi biarkan dalam 10-15 minit untuk merebus agar-agar keping.
Selepas agar-agar sempurna melarut barulah ketika ini anda mencampurkan semua bahan dan biarkan semua bahan bercampur dengan sebati.
Didihkan dengan api yang sederhana supaya sebatian puding atau agar-agar anda tidak akan melimpah atau menjadi hangus di bawahnya.
Untuk resipi puding mangga ini saya menggunakan buah mangga dan dalam masa yang sama saya menggunakan kedua kedua jenis agar-agar iaitu jenis keping dan serbuk agar-agar supaya puding mangga dapat mengeras dengan elok. Kemanisan puding ini adalah mengikut selera anda.
Sebaiknya tambah gula pada peringkat akhir kerana ketika ini anda boleh mengurang atau menambah gula selepas merasainya. Jika anda mahu puding ini berasa lebih lemak gunakanlah susu cair atau gantikan sebahagian susu segar dengan susu cair atau krim.
Setelah semuanya dicampurkan dan direbus anda bolehlah menuang puding mangga anda ini mengikut acuan yang digemari.
Untuk mengetahui sama ada puding anda sudah cukup konsistensinya adalah dengan melihat kepekatannya. Ia perlulah kelihatan likat dan berkilat.
Jika anda tidak pasti puding boleh mengeras dengan elok atau tidak jangan risau, sebaliknya tuang dalam bekas yang kecil dan bekukan dalam peti ais. Biarkan dalam 10-15 minit.
Jika ia tidak mengeras masak lagi agar-agar dan tambah sahaja dalam puding. Jika terlalu keras tambah jumlah cecair di dalamnya dan masak semula. Inilah keistimewaan agar-agar yang boleh anda ubah suai kekerasannya untuk membuat puding dan agar-agar. Selamat mencuba!
0 comments:
Please leave a message, email or phone number to be contacted.